DIABETIS
Diabetes mellitus merupakan satu masalah yang semakin ketara di kalangan masyarakat di Malaysia. Dijangkakan seramai 7.7% daripada penduduk di Malaysia iaitu hampir 1.4 juta pnduduk menghidapi diabetes.
Diabetes boleh dikawal. Diabetes tidak boleh hilang. Akan tetapi dengan pelan pemakanan yang baik, senaman dan ubatan, penyakit ini boleh dikawal. Rawatan diabetes senantiasa berubah mengikut kajian-kajian yang terkini. Ubatan dan cara rawatan serta pemeriksaan telah banyak memperbaiki cara dan qualiti kehidupan pesakit diabetes.
Diabetes merupakan masalah seumur hidup. Oleh itu adalah penting untuk anda selalu mengikut rawatan yang dinasihatkan oleh doktor. Adalah penting juga untuk anda selalu berjumpa dengan doktor anda pada tarikh temujanji yang ditetapkan. Beritahulah doktor anda lebih awal jikalau anda menhadapi masalah berkaitan diabetes.
Kawalan diabetes bergantung kepada diri anda sendiri. Doktor dan kakitangan di klinik hanya boleh memberikan nasihat dan sokongan sahaja. Akhirnya, tahap kawalan diabetes bergantung kepada diri anda sendiri.
Diabetes merupakan satu masalah yang selalu bertukar. Doktor anda akan selalu menukarkan ubatan anda bergantung kepada tahap kawalan diabetes anda
Aabila seseorang itu ada diabetes, dia tidak dapat mempergunakan tenaga dari makanan yang dimakan. Selepas seseorang makan, gula akan naik dalam saluran darahnya. Gula ini merupakan bahan api bagi badan menjalankan tugas harian. Hormon Insulin , yang dihasilkan oleh organ pankreas, diperlukan untuk mempergunakan tenaga tersebut. Dalam diabetes, disebabkan Insulin ini tidak mencukupi ataupun ia tidak berfungsi dengan berkesan, gula dalam darah tersebut tidak dapat dipergunakan. Oleh itu, gula tetap tinggi di dalam darah. Gula yang tinggi di dalam darah inilah yang akan memberikan masalah jangkamasa pendek dan panjang.
Tanda diabetes
Kebanyakan diabetes tidak mempunyai apa-apa tanda yang ketara. Namun ada beberapa tanda yang boleh memberikan amaran yang anda mungkin ada diabetes. Antaranya:
dahaga yang keterlaluan
Kelaparan selalu
Selalu bangun tengah malam hendak membuang air kecil
Rasa menyucuk-nyucuk ataupun kebas terutama pada kaki
hilang berat badan tanpa sebab
Kabur penglihatan
Luka yang susah sembuh
Selalu keletihan
Jikalau anda mempunyai tanda tersebut, berjumpalah dengan doktor anda untuk penyiasatan yang lebih.
Komplikasi (Gejala) diabetes
Apabila kandungan gula di dalam darah selalu tinggi, ia boleh menyebabkan masalah pada jangkamasa yang akan datang. Dengan mengawal kandungan gula di dalam darah pada tahap yang baik, boleh memperlambatkan gejala diabetes.
Antara gejala diabetes termasuk:
Gejala akut (jangkamasa pendek)
Hyperglycemic coma - keadaan di mana pesakit tidak sedar diri disebabkan kandungan gula di dalam darah yang terlalu tinggi
Hypoglycemia - keadaan di mana kandungan gula terlalu rendah di dalam darah dan akan juga menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri. Ini disebabkan oleh ubatan ataupun suntikan insulin yang berlebihan serta pemakanan yang tidak teratur. Tanda-tanda termasuk kelaparan, sakit kepala, lemah, berpeluh, pening, menggigil, runsing, kabur mata dan sawan.
Gejala kronik (jangkamasa panjang)
Angin ahmar (stroke/cerebrovascular accident)
Merujuk kepada pembuluh darah yang tersumbat separa atau sepenuhnya. Otak mengalami kekurangan bekalan oksigen (iskemia) dan mendapat serangan angin ahmar.
Pelbagai jenis stroke samada yang ringan atau bersifat sementara (Transient Ischaemic Attack) sehinggalah kepada stroke yang teruk seperti darah beku di otak (Thrombotic Stroke) boleh berlaku. Tanda-tanda yang ditunjukkan adalah seperti berikut :-
Buta pada salah satu mata
Kebas pada satu anggota atau separuh badan
Lemah pada satu anggota atau separuh badan
Sukar bercakap
Gangguan ingatan
Sawan
Koma
Penyakit jantung
Serangan sakit jantung yang disebabkan oleh penimbunan kolesterol secara perlahan pada dinding dalam pembuluh darah jantung. Pembuluh darah menjadi sempit, pengaliran darah terhalang dan jantung mengalami kekurangan bekalan oksigen.
Penyakit Vascular Periferi
Penyempitan pembuluh darah arteri menyebabkan peredaran darah ke otot-otot kaki menjadi lemah dan pengidap diabetes merasa sakit betis semasa berjalan (intermittent claudication). Kekurangan bekalan oksigen dan nutrisi di tisu-tisu dan kulit akibat daripada peredaran darah yang lemah menyebabkan luka di kaki lambat sembuh, kaki membengkak dan kulit menjadi kering. Ini meningkatkan risiko jangkitan kepada kaki. Sekiranya kaki pengidap diabetes mengalami infeksi yang teruk dan tidak terkawal, ia terpaksa dipotong bagi menghalang infeksi daripada merebak.
Kerosakan buah pinggang
Proses kerosakan ginjal bermula pada nefron iaitu unit asas ginjal sejak bermulanya penyakit diabetes. Paras glukos yang tidak terkawal untuk jangkamasa panjang mengakibatkan kerosakan nefron. Keadaan ini menjadi semakin teruk oleh tekanan darah yang tidak terkawal.
Nefron yang rosak membenarkan kebocoran sejenis protin halus iaitu albumin ke dalam air kencing. Kehadiran albumin dalam air kencing dinamakan mikro-albuminuria. Ia memberi petunjuk awal terhadap perubahan struktur ginjal dan pembuluh darah pesakit diabetes yang menjurus kepada kegagalan ginjal dan penyakit vaskular yang lain.
Tempoh mikroalbuminuria berubah menjadi protinuria nyata (overt nephropathy) berlangsung selama 5 – 10 tahun. Seterusnya, pesakit secara beransur-ansur menuju kepada kegagalan ginjal (End Stage Renal Disease) dan akhirnya terpaksa bergantung kepada dialisis atau menjalani pemindahan ginjal (renal transplant).
Ulcer Kaki (Peripheral Neuropathy)
Periferi neuropati iaitu kehilangan deria rasa bermula daripada hujung jari kaki yang naik keatas. Pesakit akan merasai kebas, sakit seperti terbakar menyucuk-nyucuk seperti ditikam dan gejala bertambah teruk pada waktu malam. Kulit juga boleh menjadi terlampau sensitif sehingga pengidap diabetes akan merasa sakit walaupun terkena kain yang dipakai .
Selain daripada itu, ia boleh memyebabkan kaki menjadi lemah dan tidak stabil sewaktu berjalan . Kehilangan deria rasa atau sentuhan pada kaki akan menyebabkan kaki mudah tercedera dan mendapat kudis (ulcer)
Penyakit urat saraf autonomik pula melibatkan urat saraf pembuluh darah, kelenjar peluh, perut, usus, pundi kencing, jantung dan organ seks/genital.
Ia akan menunjukkan tanda-tanda seperti :-
Berpeluh luar biasa selepas makan.
Loya, muntah dan cepat merasa kenyang .
Cirit-birit yang selalunya berlaku pada malam hari.
Tidak lawas kencing kerana pundi kencing tidak mengosong sepenuhnya .
Fungsi seks terjejas disebabkan mati pucuk (impotence) dan sakit semasa persetubuhan pengeluaran sekresi vagina yang lambat)
Pening atau pitam kerana tekanan darah rendah semasa duduk atau berdiri (postural hypotension)
Berdebar-debar
Kerosakan mata
Merujuk kepada kerosakan pembuluh darah kecil di retina dan biasanya melibatkan kedua-dua belah mata. Kebanyakan pesakit diabetes akan menunjukkan tanda-tanda retinopati diabetik selepas 10 tahun mengidapnya. Mereka yang berisiko untuk mendapat retinopati ialah :-
Tempoh mengidap penyakit diabetes
Kawalan paras glukos yang tidak memuaskan
Darah tinggi yang tidak terkawal
Kegagalan ginjal
Diabetes semasa kehamilan
Retinopati diabetik terbahagi kepada 2 jenis :
Non-proliferative diabetic retinopathy (NPDR)
Proliferative diabetic retinopathy (PDR)
Ujian Saringan
Apabila anda disyaki menghidapi diabetes, satu ujian saringan boleh dilakukan dengan mudah. Ia menggunakan satu alat yang dipanggil glucometer (gambar). Sampel darah diambil dengan menyucuk hujung jari anda.
Jikalau ujian anda mencurigakan, satu sampel darah yang lain mungkin diambil dari lengan anda untuk diuji di makmal. Doktor mungkin akan menasihati anda untuk berpuasa selama 10 jam sebelum ujian darah ini
SIAPA YANG PATUT DISARING?
Umur 35 tahun ke atas
Kegemukan (Obesiti BMI > 30)
Dislipidemia (Total Kolesterol > 5.2 mmol/L dan TG > 1.7mmol/L)
Sejarah keluarga diabetes.
Sejarah diabetes semasa kehamilan.
Riwayat ibu yang melahirkan bayi > 4.0 kg
Hipertensi (B/P > 140/90 mmHg)
DI MANA UJIAN SARINGAN BOLEH DILAKUKAN?
Klinik Kesihatan
Hospital
Klinik-klinik dan hospital swasta
Program-program Kesihatan
Ubatan
Menggunakan ubat-ubatan makan adalah satu cara untuk mengawal diabetes. Ada beberapa jenis ubatan diabetes dan setiap bekerja dengan cara yang berlainan. Ada pesakit yang akan memerlukan lebih daripada satu jenis ubat diabetes.
Adalah penting untuk anda mengikut arahan yang diberikan oleh doktor anda. Ubat tidak boleh ditambah atau dikurangkan dengan sendiri. Beritahulah doktor anda jikalau anda menghadapi masalah semasa memakan ubat tersebut.
TIPS PENGAMBILAN UBAT –UBATAN ANTIDIABETIK
Semak arahan pada sampul ubat berkenaan
Jangan makan ubat sekiranya tidak mengambil sebarang makanan
Jika terlupa makan ubat berkenaan, segeralah mengambilnya apabila teringat semula
Jika terlupa memakan ubat tetapi teringat semula semasa jadual berikutnya, tinggalkan dos tersebut dan ambillah dos ubat mengikut semula jadual yang asal. Jangan menggandakan dos !
Ikut jadual makan ubat seperti yang disyorkan samada sebelum atau selepas makan dan kekerapan mengambil ubat (sekali, 2 kali atau 3 kali sehari)
Jangan mengambil ubat-ubatan lain kecuali yang dibenarkan oleh doktor bagi mengelakkan interaksi ubat.
Elakkan minuman beralkohol apabila mengambil ubat-ubatan anti-diabetik
Antara ubatan yang ada:-
Sulphonylureas eg DAONIL (Glibenclamide), Diamicron (Gliclazide), Glimepiride
Ubatan ini bekerja dengan memberangsangkan sel beta dalam pankreas untuk menghasilkan lebih insulin. Ia lebih berkesan jikalau dimakan sebelum sarapan walaupun ubatan yang lebih baru boleh dimakan pada bila-bila masa.
Kesan sampingan ubat ini yang paling ketara adalah hypoglycemia iaitu tahap gula yang terlalu rendah di dalam darah. Ini biasanya berlaku jikalau pesakit memakan dosa yang berlebihan ataupun dia tidak makan sarapan walaupun masih memakan ubatan diabetes.
Biguanides eg Metformin
Bekerja terutamanya dengan mengawal pengeluaran gula dari sel hepar (liver). Ia juga mungkin ada kesan dalam proses penggunaan gula oleh otot dan tisu lain dalam badan.
Alpha glucosidase inhibitors eg Acarbose
Mengurangkan gula daripada diserap melalui usus. Ia agak berkesan untuk mengawal gula yang tinggi selepas sarapan (postprandial hyperglycemia)
Insulin secretagogues eg Repaglinide, netaglinide
Juga bekerja dengan memberangsangkan sel beta dalam pankreas untuk menghasilkan lebih insulin. Kesan hypoglycemia dikatakan kurang berbanding dengan ubatan kumpulan sulphonylureas.
Thiozolidinediones eg Rosiglitazone, Pioglitazone
Menyelesaikan masalah "insulin resistance".
Insulin boleh digunakan dengan 2 cara iaitu picagari dan jarum atau pen khas.Ia mengikut jenis insulin yang dibekalkan. Perkara perkara penting yang perlu tahu sebelum,semasa dan selepas menggunakan insulin adalah :
# Tempat suntikan ? # Masa suntikan ? # Cara suntikan diberi ? # Cara penyimpanan insulin ? # Cara pemusnahan jarum ?
TEMPAT SUNTIKAN ?
MASA SUNTIKAN ?
Mengikut arahan Doktor yang merawat anda. Suntikan diberi lebih kurang15 minit sebelum makan.
CARA SUNTIKAN DIBERI ?
Bersihkan diri atau tempat yang hendak dicucuk. Jarak antara satu suntikan dengan satu suntikan hendaklah 2 jari. Ini untuk mengelakkan dari dicucuk berulang kali ditempat yang sama. Sekiranya terdapat tempat yang keras akibat dari suntikan yang berulang kali ,ELAK dari mencucuk ditempat tersebut. Ini akan menganggu penyerapan insulin. Pesakit hendaklah duduk dengan selesa. Peralatan hendaklah tersedia diatas meja. Botol insulin hendaklah digoncang terlebih dahulu dan sapu getah pada botol dengan menggunakan kapas beralkohol. Masukkan udara kedalam picagari sebanyak sukatan insulin yang diarahkan. Contoh, 10 cc (unit) Cucuk picagari yang berudara kedalam botol insulin dengan menolak kesemua udara tersebut. Tonggengkan botol insulin dengan picagari dibawah dan seterusnya tarik insulin kedalam picagari sebanyak yang diperlukan Contoh : insulin yang diperlukan 10 cc . Cabut jarum dari botol insulin . Dengan keadaan jarum picagari tegak keatas,tarik picagari arah kebawah untuk memasukkan udara 1cc. Ketuk perlahan-lahan picagari yang mengandungi insulin supaya udara berkumpul diatas. Dengan perlahan-lahan tolak picagari arah keatas sehingga kelihatan setitik dua insulin terkeluar dari jarum dan pastikan jumlah insulin tidak kurang atau lebih dari sepatutnya.
Sekarang insulin sedia untuk disuntik . Tempat yang mudah dikendalikan sendiri oleh pesakit ialah di abdomen. Sapu kapas beralkohol di tempat yang hendak dicucuk. Pegang picagari mengikut keselesaan . Picit sedikit bahagian abdomen dan cucuk jarum dalam kedudukan menegak iaitu 90 darjah dari kulit tetapi jangan tekan batang picagari Lepaskan bahagian yang dipicit dan tarik sedikit batang picagari tanpa menarik keluar jarumnya. Ini untuk melihat sekiranya ada darah didalam picagari .
Sekiranya tiada darah, terus menekan batang picagari yang mengandungi insulin kedalam abdomen sehingga kesemua insulin masuk kedalam kulit. JANGAN tarik keluar jarum dengan sertamerta. TUNGGU hingga 10 saat dengan mengira hingga 10 kemudian cabut jarum dan tekan menggunakan kapas beralkohol yang telah dibuka ditempat tersebut dalam masa 1 minit.
Sekiranya terdapat darah didalam picagari,cabut jarum dari abdomen dengan sertamerta tanpa menekan batang picagari. Cucuklah ditempat yang lain, 2 jari dari tempat pertama. Jarum boleh digunakan untuk 2 atau 3 kali suntikan . JANGAN BERKONGSI JARUM DENGAN PESAKIT LAIN.
CARA PENYIMPANAN INSULIN ?
Insulin hendaklah di simpan di dalam petisejuk dengan suhu 2- 8 darjah celceus iaitu bahagian am atau dalam suhu bilik. Insulin hendaklah diletakkan menegak(berdiri). ELAKKAN dari cahaya matahari secara langsung atau tidak. JANGAN simpan didalam kereta yang ditinggalkan dibawah panas matahari. JANGAN simpan di dalam bahagian beku (freezer) petisejuk. Keluarkan dari petisejuk 3 - 5 minit sebelum digunakan. Sebelum menggunakan insulin hendaklah memeriksa tarikh luput,nama insulin yang digunakan dan kandungannya tiada bendasing.
CARA PEMUSNAHAN JARUM ?
Semua jarum yang telah digunakan hendaklah simpan didalam tin sehingga banyak atau penuh. Tin yang telah dipenuhi dengan jarum yang telah digunakan hendaklah dihantar keklinik yang berhampiran untuk dimusnahkan. JANGAN buang jarum dan picagari merata-rata . Ini untuk mengelakkan dari penyalahgunaannya oleh orang -orang yang tidak bertanggungjawab.
Setiap manusia memerlukan sepasang kaki yang sihat dan sempurna untuk menjalankan tugas seharian yang menjamin kehidupan. Begitu juga kepada setiap pesakit Diabetis,kaki adalah pancaindera yang amat penting memandangkan 95 % pesakit Diabetis adalah DM Jenis 2.
Penjagaan kaki adalah penting untuk mengawal dan mencegah komplikasi pada pesakit diabetes. Infeksi kulit oleh kulat dan bakteria terutamanya di celah-celah jari kaki sering terjadi pada penghidap diabetes kerana peredaran darah di kaki pesakit mungkin terganggu. Kehadiran glukos dalam air peluh menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pembiakan bakteria. Dengan itu, pesakit diabetes perlu memeriksa kaki mereka dengan kerap dan kaki mereka akan diperiksa setiap kali datang ke klinik.
Tanda-tanda kaki diabetes
Kehilangan deria rasa apabila kaki mengalami infeksi atau kecederaan.
Kudis mengambil masa yang lama untuk sembuh.
Kaki menjadi panas atau sejuk yang berpanjangan.
Kebas atau kelemahan otot-otot badan.
Perubahan warna dan suhu kaki
Kehilangan bulu roma kaki
LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN
Kaki perlu dibasuh setiap hari dengan menggunakan sabun
Keringkan kaki dan celah jari dengan tuala lembut
Gunakan losen pelembab atau krim pada kaki bagi mengelakkan kulit dan tumit menjadi kering atau merekah
Periksa kaki dengan teliti di tempat yang terang
Periksa kawasan di antara jari kaki dan gunakan cermin untuk periksa tapak kaki
Cari rekahan pada kulit, luka-luka, calar-balar, melepuh, kudis, bisul atau perubahan warna pada kulit kaki
Segera mendapatkan nasihat perubatan sekiranya kaki luka atau keadaan kaki menjadi teruk.
Sentiasa menggunakan alas kaki sama ada di dalam ataupun di luar rumah
Gunakan sarung kaki yang dapat menyerap peluh iaitu dari jenis benang bulu dan kapas. Pastikan ianya tidak terlalu ketat kerana ini akan menghalang peredaran darah di kaki
Tukar sarung kaki setiap hari
Pakailah kasut yang sesuai dan selesa dipakai
Potong kuku jari kaki secara lurus melintang dan tidak melengkung atau terlalu pendek. Kemaskan kuku dengan mengikis pinggir kuku untuk menumpulkan tepi yang tajam
SENAMAN KAKI
Berikut adalah beberapa jenis senaman yang boleh dilakukan khas untuk kaki anda .
Duduk dengan betul di atas kerusi sambil meletakkan kaki ke lantai
Sambil meletakkan tumit di lantai, jari-jari kedua-dua belah kaki diluruskan ke atas dan dibengkokkan ke bawah sebanyak 10 kali.
Sambil meletakkan tumit di lantai, angkat tapak kaki ke atas. Kemudian, jari-jari kaki pula diletakkan di lantai sambil tumit kaki diangkatkan ke atas. Langkah ini diulangi sebanyak 10 kali
Tumit kaki diletakkan di lantai. Bahagian depan kaki diangkat ke atas dan putaran 360 º dibuat dengan pergerakan pada pergelangan kaki sebanyak 10 kali
Jari-jari kaki diletakkan dilantai. Tumit diangkat dan putaran 360 º dibuat dengan pergerakan pada pergelangan kaki sebanyak 10 kali
Kaki diangkat ke atas dengan meluruskan lutut. Putaran 360 º dibuat dengan pergerakan pada pergelangan kaki sebanyak 10 kali
Lutut diluruskan dan dibengkokkan ke bawah sebanyak 10 kali. Ulangi langkah ini untuk kaki yang sebelah lagi.
Letakkan sehelai kertas suratkhabar di lantai. Renyukkan kertas itu menjadi bola dengan kedua-dua belah kaki. Kemudian, bukakan bola itu menjadi kertas yang leper menggunakan kedua-dua belah kaki. Langkah ini dilakukan sekali sahaja
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment